arena

'Kritikan buat kami lebih kuat'

Oleh AFP

LONDON: Chelsea boleh melupakan permulaan hambar musim mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan meneruskan rentetan kemenangan di kelab bermasalah West Bromwich Albion, malam esok.

Pasukan kendalian Antonio Conte ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City selepas hanya 11 perlawanan.

Namun juara bertahan itu menang empat aksi terakhir domestik dan boleh melonjak dari tangga keempat ke tangga kedua sekiranya Manchester United dan Tottenham, dua kelab di depan mereka gagal memenangi perlawanan masing-masing.

Conte menyaksikan pasukannya tewas dalam Liga Juara-Juara di tangan AS Roma hujung bulan lalu namun kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dalam Liga Perdana menyusul dan memberikan bayangan tiada kemusnahan hakiki dialami di Itali.

Sudah tentu pemain pertahanan Victor Moses turut berasa sedemikian.

“Sebagai satu pasukan, apa saja yang berlaku, kami tetap bersatu dan melakukan sebaik mungkin,” kata Moses.

“Ramai yang agak berkasar tapi kami tidak perlu memikirkan atau menumpukan kepada apa yang orang perkatakan.

“Kritikan sebegini membuatkan pemain lebih kuat.

“Kami sedar kami hanya perlu percaya dengan diri sendiri dan membuktikan mereka silap dengan memenangi perlawanan sebanyak mungkin. Kami bersatu hati 100 peratus. Kami bagaikan bersaudara di sini.”

Pemain kebangsaan Nigeria berusia 26 tahun itu berkata, di sebalik jurang antara mereka dengan City, mereka percaya lawan masih boleh dikejar.

“Kami sembilan mata di belakang Man City tapi kami percaya terhadap diri sendiri dan percaya sesuatu akan berlaku sepanjang kempen dan kami boleh kembali ke puncak,” ujar Moses.

“Kami masih percaya dengan diri sendiri dan pengurus jadi kami akan terus bekerja keras dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu.”

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 11:16am
d