arena

Federer tak kejar nombor satu

Oleh AFP

LONDON: Roger Federer mengakui ranking nombor satu dunia hujung tahun ini bukan lagi cita-cita yang realistik meskipun mempamerkan kebangkitan menakjubkan tahun ini.

Federer sudah pasti berada di belakang Rafael Nadal dalam ranking terakhir musim 2017 tetapi pemain nombor dua dunia itu bersedia untuk mengatasi lawannya itu bagi kedudukan teratas tahun depan.

Jika Federer memenangi gelaran pada Pusingan Akhir ATP hujung minggu ini, dia akan menamatkan saingan tahun ini dengan hanya 140 mata di belakang Nadal.

Memenangi Terbuka Australia dan rekod gelaran Wimbledon kelapan tahun ini, Federer tidak teragak-agak untuk menyasarkan status pemain nombor satu dunia musim depan.

Namun pemain berusia 36 tahun itu yang mempunyai rekod 302 minggu di kedudukan pertama dalam kariernya, tidak percaya mahkota pada hujung tahun ini satu sasaran yang berbaloi kerana bimbang ia akan memberi tekanan kepada tubuhnya.

Federer berhati-hati dalam pemilihan jadualnya apabila dia tidak bermain dalam sebanyak mana kejohanan yang disertai lawannya bagi memastikan prestasinya memuncak ketika acara Grand Slam.

“Lihat, ia bukanlah sasaran realistik jika dilihat, pemain nombor satu dunia.

“Ia menarik. Boleh dikatakan pencapaian besar dalam tenis jika diikutkan, ia sering begitu buat saya.

“Tapi pada usia saya sekarang, ia tidak lagi kerana saya rasa saya akan melakukan kesilapan jika terlalu mengejarnya.

“Saya tidak pasti sekuat mana badan saya membenarkan saya mencapai sasaran seperti itu.

“Mungkin jika saya berfikir mengenainya begitu kerap dan terlalu banyak, saya rasa saya mungkin juga tidak akan dapat bermain dengan cara sepatutnya,” ujarnya.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 3:29pm
d