arena

Perginya permata bola sepak negara

Oleh Devinder Singh

LEGENDA bola sepak negara pada Sukan Olimpik Munich 1972, Wan Zawawi Wan Yusof meninggal dunia di Kuantan hari ini. Beliau berusia, 68 tahun.

Arwah dikenang sebagai seorang daripada pemain menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Amerika Syarikat pada temasya berkenaan.

Selain menjadi tonggak utama skuad negara, Wan Zawawi yang lahir pada 11 April 1949 di Kota Baharu, pernah bermain bersama Kelantan, Pahang dan Penjara sepanjang kariernya.

Ketika bersama pasukan kebangsaan, beliau menikmati detik kegemilangan apabila memastikan negara mara ke Olimpik dengan menewaskan Korea Selatan di Seoul pada 1971 selain memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Tehran pada 1974.

Dalam satu temuramah bersama Berita Harian tahun lalu, Wan Zawawi berkata dapat bermain dan menjaringkan gol pada Olimpik 1972 adalah puncak kejayaan kariernya.

“Bermain di Olimpik memberi makna yang besar buat saya tetapi dapat menjaringkan gol menjadikan ia lebih istimewa,” kata Wan Zawawi yang diletakkan sebagai pemain tengah bergandingan dengan Salleh Ibrahim dan Wong Choon Wah.

“Apabila kami bermain menentang Amerika Syarikat, mereka sangka kami akan takut dan gentar tetapi selepas jaringan pertama Salleh, mereka panik.

“Kami mengambil peluang dan daripada hantaran Choon Wah, saya dapat jaringkan gol ketiga.

Wan Zawawi menyarung jersi pasukan kebangsaan buat kali pertama apabila dipilih ke Kejohanan Remaja Asia 1969 dan tampil dalam pasukan senior buat kali pertama pada Sukan Asia di Bangkok.

Selain pingat gangsa Sukan Asia 1974, Wan Zawawi juga membantu kemenangan dua emas di Sukan SEAP pada 1971 dan 1975 serta turut serta dalam kempen Pestabola Merdeka pada 1971 dan 1974 serta Piala Hari Republik Selatan Vietnam 1971.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 5:36pm
d