arena

Belum terima tawaran daripada KAFA

Oleh Zulfaizan Mansor

HASHIM Mustapha belum menerima sebarang tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menjadi penolong jurulatih pasukan The Red Warriors (TRW), musim depan.

Mengesahkan perkembangan berkenaan, jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan itu berkata, setakat ini dia hanya mengetahui mengenai desas desus itu menerusi laporan laman sosial.

Bagaimanapun, penjaring terbanyak Kelantan pada era 90-an itu mengakui masih sayang untuk meninggalkan skuad Piala Presiden yang dibimbingnya sejak musim 2016.

“KAFA sendiri belum menghubungi saya. Jika berita itu benar, saya ucap terima kasih kepada KAFA kerana memberi kepercayaan untuk saya naik ke pasukan senior.

“Jika diberi pilihan, saya lebih selesa untuk kekal sebagai jurulatih skuad Piala Presiden kerana masih banyak yang ingin saya sumbangkan kepada pemain muda Kelantan.

“Tapi sekiranya KAFA bertegas minta saya berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad Liga Super pun, itu terpulang kepada pengurusan dan saya sedia pertimbangkan kerana sudah biasa memikul tugas itu sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hashim yang menjadi penyerang digeruni pada zaman kegemilangannya pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih Kelantan di bawah B Sathianathan pada 2010, Datuk M Karathu (2011), Peter Butler (2012) dan Steve Darby (2013).

Selain itu, dia juga mengakui tidak malu walaupun beberapa pemain pada eranya termasuk jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan dan Nidzam Adzha Yusoff (Kedah) sudah menjadi jurulatih dalam liga utama.

“Jika diikutkan saya juga mahu berada setaraf dengan mereka iaitu membimbing pasukan dalam Liga Super atau Liga Perdana, tapi mungkin belum ada rezeki untuk saya.

“Apapun, saya tetap tidak kisah kerana berada dalam skuad Piala Presiden juga memberi peluang saya untuk berkongsi ilmu kepada pemain masa depan negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 7:34pm
d