arena

Aubameyang berang digantung

Oleh AFP

PIERRE-EMERICK Aubameyang (gambar) berkata dia tidak faham mengapa kelabnya, Borussia Dortmund, menggantungnya hanya kerana datang lambat untuk latihan.

Dortmund menggantung penyerang bintang mereka daripada skuad itu untuk aksi Bundesliga menentang Stuttgart awal pagi esok.

Tahun lalu, kelab itu menggantung Aubameyang untuk aksi Liga Juara-Juara Sporting Lisbon selepas pemain itu pergi berparti di Milan tanpa kebenaran.

“Saya boleh faham mengapa saya digantung di Milan kerana tidak menghormati tetapi peraturan tetapi kali ini saya benar-benar bingung. Saya tidak mahu datang lewat,” katanya kepada akhbar Jerman, Bild hari ini.

Bild melaporkan pemain itu digantung kerana dia datang lewat 20 minit untuk latihan. Media Jerman turut membuat spekualsi dia digantung kerana sekali lagi meninggalkan Jerman untuk berparti, kali ini di Barcelona.

“Aubameyang tidak akan diturunkan untuk perlawanan esok atas sebab disiplin,” kata Dortmund di akaun Twitter kelab itu semalam.

Kelab itu bagaimanapun tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan Aubameyang.

Penyerang Gabon itu adalah penjaring terbanyak kelab itu dengan 10 jaringan Bundesliga setakat ini tetapi dia gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga dan dua aksi Liga Juara-Juara.

Ia membayangkan prestasi hambar pemain itu yang kebetulannya dipinggirkan kelab itu.

Selepas tiga kekalahan dan satu seri dalam aksi Bundesliga, Dortmund menyaksikan kedudukan mereka yang sebelum ini mendahului lima mata di puncak Bundesliga, kini ketinggalan enam mata berbanding seteru utama Bayern Munich.

Borussia juga diancam penyingkiran daripada aksi Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:24pm
d