arena

Azmi sah sertai Melaka United

Oleh Nazri Abu Bakar

BEKAS pemain kebangsaaan Azmi Muslim sah menyertai Melaka United (MU) sekali gus membulatkan keazamannya membantu skuad terbabit memenuh sasaran menduduki lima tangga teratas Liga Super musim depan.

Pemain pertahanan kiri yang mewakili PKNS musim ini itu berkata, tekadnya untuk melonjak kejayaan skuad Hang Tuah dalam saingan Liga Malaysia malah mahu mengulangi era kecemerlangan menjuarai Piala Malaysia bersama Selangor 2015.

Menurutnya, dia melihat gabungan pemain MU yang dikekalkan bersama muka baharu mampu membentuk sentuhan yang lebih efektif bagi memenuhi sasaran terbabit.

Beliau berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MU yang menyenaraikannya dalam skuad berkenaan musim 2018 serta PKNS yang memberinya peluang beraksi sebelum ini.

“Secara peribadi saya mahu melakar kejayaan manis bersama MU musim ini tambahan sokongan peminat setia pasukan terbabit diakui mampu membakar semangat buat saya untuk beraksi sebaik mungkin.

“Ketika ini saya giat menjalani latihan sendiri sebelum turun bersama pelatih lain di bawah bimbingan jurulatih Eduardo Almeida awal Disember depan,” katanya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang memiliki pengalaman luas sepanjang kariernya termasuk menyertai My Team 2006 -2009, Kedah (2010- 2011), Johor Darul Ta’zim (JDT) dan FELDA United (2013), ATM (2012) Selangor (2014-2016) dilihat aset berharga buat MU musim depan.

Azmi berkata, situasinya kini yang bebas daripada sebarang kecederaan membolehkannya untuk menyumbang kudrat pada tahap terbaik malah pada masa sama mengharapkan rezeki berpihak kepadanya untuk menjulang salah satu piala tahun depan.

Penyertaan Azmi juga bakal memperkuat jentera pertahanan pasukan terbabit selepas skuad berkenaan sebelum ini turut mengekalkan G Puneswaran, Khair Jefri Jones dan Faizal Mohamad di posisi berkenaan..

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:29pm
d