arena

'Mana ada Ronaldo, Ramos gaduh'

Oleh AFP

JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane menafikan laporan berkenaan insiden pergaduhan di bilik persalinan membabitkan kapten, Sergio Ramos dan pemain Terbaik Dunia, Christiano Ronaldo menjelang perlawanan setempat dengan Athletico Madrid, awal pagi Ahad.

Kedua-dua kelab itu ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona dengan Ronaldo pada awal bulan ini mengeluh ketiadaan Alvaro Morata, Pepe dan James Rodriguez menyebabkan hanya pemain kurang berpengalaman beraksi berbanding ketika mereka muncul juara La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu.

Ramos kemudian melihat komen itu sebagai ‘mengambil kesempatan’ dan akhbar tempatan ada melaporkan ketegangan membabitkan kedua-dua pemain utama itu.

“Apa yang saya boleh katakan ialah saya mempunyai dua pemain yang akan menjadi sebahagian sejarah kelab iaitu Ramos dan Ronaldo. Kedua-duanya sedar apa yang perlu dilakukan dan mereka sangat menghormati antara satu sama lain,” kata Zidane.

“Mereka adalah pemain yang bijak. Kedua-duanya banyak bekerjasama, memenangi banyak kejuaraan secara bersama dan jika mereka mula tidak sependapat, maka ia akan mencetuskan masalah.

“Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Apa yang penting ialah masalah ini dapat diselesaikan di dalam kelab. Tiada lagi masalah antara Ronaldo dan Ramos,” katanya.

Barcelona berpeluang untuk melebarkan jurang mereka di tangga teratas dengan 11 mata sebelum pertemuan Real-Atletico jika berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Leganes.

Bagaimanapun, Zidane bertegas pertemuan awal pagi Ahad ini sebagai misi wajib menang dalam usaha Real memburu kejuaraan.

“Tidak ada perubahan jika Barcelona menang. Kami sedar kami perlu melakukannya.

“Kami perlu beraksi dengan sebaik mungkin dan fokus sepanjang 90 minit permainan,” katanya.

Ronaldo menjadi punca di sebalik kesukaran Real pada awal musim apabila bintang Portugal itu hanya menyumbat satu gol daripada tujuh perlawanan La Liga musim ini.

Bagaimanapun, dia sepatutnya berada dalam keadaan terbaik selepas tidak beraksi bersama skuad kebangsaan sejak dua minggu lalu kerana menerima kelahiran anak keempat.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 11:22pm
d