arena

Pilih pemain wakili Pahang ke Liga Badminton Air Asia

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Seramai 255 pemain mewakili 15 sekolah menengah di Pahang menyertai Kejohanan Badminton Liga Remaja Kebangsaan AirAsia - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Pahang bawah 18 (B-18) di Stadium Badminton Persatuan Badminton Pahang (PBP), Indera Mahkota, dekat sini, semalam.

Pertandingan julung kali diperkenalkan itu bertujuan memilih pemain yang akan mewakili Pahang ke Kejohanan Liga Badminton Air Asia peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur bulan depan.

Majlis perasmian kejohanan selama tiga hari dan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM5,500 itu disempurnakan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail (gambar).

Naib Presiden PBP, Salamon Ali Rizal Abd Rahman berkata, kejohanan itu membabitkan acara perseorangan dan beregu kategori lelaki dan perempuan, dengan perlawanan akhir akan diadakan pada petang esok.

Katanya, pemenang acara perseorangan akan membawa pulang hadiah wang tunai dan medal selain berpeluang mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan bulan depan.

“Pemain yang bersaing pada kejohanan kali ini berumur antara 13 hingga 16 tahun, dengan kebanyakan mereka sebelum ini pernah mewakili sekolah di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP).

“Beberapa pemain utama tidak dapat beraksi pada kejohanan kali ini kerana sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya yakin dengan penganjuran kejohanan badminton liga remaja kebangsaan usaha BAM mencungkil bakat baru untuk mewakili negara suatu hari nanti akan menjadi kenyataan,” katanya semalam.

Salamon berkata, di peringkat negeri setiap tahun PBP menganjurkan kejohanan badminton remaja bagi melahirkan barisan pelapis selain turut berpeluang mewakili Pahang di pentas kebangsaan.

Katanya, usaha BAM yang disokong penaja akan merancakkan lagi pembangunan sukan badminton peringkat negeri dan kebangsaan selain dapat mengatasi masalah ketandusan pemain muda berbakat.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 2:00am
d