arena

Nasib tidak menyebelahi kami: Bosz

Oleh Reuters

BERLIN: Borussia Dortmund terus dirundung malang apabila tunduk 1-2 di tangan VfB Stuttgart dalam saingan pagi tadi, sekali gus merekodkan kekalahan keempat mereka dalam lima aksi terakhir Bundesliga.

Pasukan yang bermula cemerlang dengan meraih enam kemenangan dalam tujuh aksi awal musim ini kini sudah hilang sentuhan, apabila gagal meraih sebarang kemenangan sejak September lalu, sekali gus memberi tekanan kepada pengendalinya, Peter Bosz.

Dortmund yang bakal bertemu Tottenham Hotspur pada aksi Liga Juara Juara, minggu depan kekal di tangga ketiga liga dengan 20 mata dan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich yang memungut 26 mata akan berdepan Augsburg, hari ini.

“Kekalahan ini sememangnya memeritkan. Kami datang ke sini untuk menang, jadi kami begitu kecewa. Sungguh tidak masuk akal jika melihat cara kami dibolosi,” kata Bosz.

“Namun kami bangkit dengan corak permainan lebih baik selepas dibolosi gol pertama. Apapun, nasib tidak menyebelahi kami pada babak kedua, tetapi kami tidak akan berputus asa. Kami akan terus berjuang.”

Pada aksi terbabit, hantaran ke belakang Marc Bartra dihukum Chardac Akolo yang mudah memberikan gol pembukaan buat Stuttgart seawal minit kelima.

Dortmund kembali menguasai permainan, namun ketiadaan penggempur berbisa mereka, Pierre-Emerick Aubameyang yang digantung menyebabkan mereka gagal menyudahkan peluang yang terhidang.

Gol penyamaan Dortmund dihasilkan oleh Maximilian Philipp yang meledak masuk bola selepas sepakan penalti Andre Schuerrle ditepis.

Namun, Josip Brekalo mengejutkan kerapuhan benteng pertahanan Dortmund, apabila meledak gol kemenangan enam minit selepas babak kedua bersambung.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 12:16pm
d