arena

'Ada pasukan palsukan kecederaan pemain'

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho ‘bengang’ dengan pengurus England, Gareth Southgate dan pasukan perubatannya, susulan tindakan menurunkan pertahanan Manchester United, Phil Jones dalam aksi persahabatan, selepas dia menerima enam suntikan penahan sakit.

Jones yang kerap dibelenggu krisis kecederaan terpaksa dikeluarkan pada babak pertama ketika England terikat 0-0 menentang Jerman minggu lalu, akibat kecederaan paha.

Mourinho menjelaskan, kecederaan itu menyebabkan Jones tidak dapat diturunkan untuk aksi bertemu Newcastle United esok dan mendakwa pasukan lain cuba memalsukan kecederaan pemain mereka agar tidak dipilih untuk mewakili England.

“Saya jangkakan semua pemain yang cedera minggu lalu tidak akan beraksi. Jika pemain cedera pada hari Selasa, namun boleh beraksi esok, pasti ada sesuatu yang tidak kena,” kata Mourinho.

“Jones cedera pada hari Selasa dan sudah tentu dia masih lagi cedera esok. Jika ada pemain yang bersedia untuk beraksi, itu sesuatu yang pelik,”

“Namun apa yang lebih pelik adalah, saya sudah menjadi pengurus selama 17 tahun sejak 2000, tetapi saya tidak pernah ada pemain yang mendapat suntikan ubat tahan sakit untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan seperti Jones.

“Tidak pernah ada. Saya bukan malaikat dan saya ada pemain yang disuntik untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif dan perlawanan penting, tetapi enam suntikan ubat tahan sakit untuk aksi persahabatan, saya tidak pernah dengar perkara sebegitu.

“Pada mulanya dia disuntik pada sebelah petang. Ketika sesi memanaskan badan, dia mengambil lima lagi suntikan. Tiada apa lagi yang hendak saya perkatakan.”

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 12:35pm
d