arena

Perak Bison intai podium

Oleh Azizan Hashim

SELEPAS berjaya mencapai sasaran untuk kekal di Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL) 2017, Perak Bison kini mula mengintai peluang melakar kejayaan menamatkan musim dengan kedudukan podium.

Ini kerana, tiga pasukan teratas liga akan layak secara automatik menyertai saingan Piala Juara STL 2017, membabitkan tiga pasukan jemputan antarabangsa, iaitu Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

Ketika kejohanan semakin menuju ke penghujung, Perak Bison berpeluang cerah meraih kedudukan kedua liga jika menang baki dua perlawanan hujung minggu ini, di Stadium Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ) Selangor.

Ketua jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail berkata, dua aksi terakhir iaitu bertemu Terengganu Turtles, hari ini dan Kuala Lumpur Thunder, esok, menjadi penentu sama ada pasukannya kekal di tangga kedua keseluruhan atau dipintas pasukan lain.

“Selepas merakam tujuh kemenangan, kami hanya mendahului saingan dengan kelebihan dua mata.

“Jika mahu kekal di kedudukan kedua dan muncul naib juara STL di belakang Pulau Pinang, kami mesti kekalkan momentum kemenangan ini.

“Ini kerana, perbezaan mata antara kami dengan pencabar lain tidak jauh dan kedudukan ini belum cukup selamat.

“Pasukan lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur akan turun habis-habisan kerana mereka juga turut berpeluang meraih kedudukan di kelompok tiga terbaik,” katanya.

Sehubungan itu, Ismi Hissan tidak mahu pemainnya melepaskan peluang keemasan ini untuk menimba pengalaman beraksi di pentas saingan lebih tinggi dan kompetitif.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 1:39pm
d