arena

Moyes fokus jumpa Stoke

Oleh Reuters

LONDON: David Moyes berkata, dia tidak berminat untuk bercakap mengenai rekod kerja lamanya menjelang perlawanan pertama selaku pengurus West Ham United bertemu Watford, esok.

Pengendali dari Scotland itu menghabiskan 11 tahun mengemudi Everton dan mengalami tempoh gagal di Manchester United, Real Sociedad dan Sunderland, sebelum dinamakan bos West Ham minggu lalu, selepas Slaven Bilic dipecat.

West Ham terperosok ke zon penyingkiran selepas hanya mengutip sembilan mata hasil dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan.

Moyes berkata, tugas pertamanya adalah untuk meraih tiga mata daripada perlawanan ke-500 dirinya sebagai pengurus di Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya mungkin bercakap mengenai masa lampau atau saya mungkin bercakap mengenai masa depan,” kata Moyes ketika sidang media.

“Saya mungkin bercakap mengenai pengurus yang menang sebanyak tiga tahun berturut-turut, saya boleh bercakap mengenai mendapatkan kerja terbesar di dunia atau bercakap menjadi satu-satunya pengurus British yang mendapat kerja di Sepanyol.

“Tetapi masanya kini adalah bercakap mengenai apa yang berlaku selepas ini. Dan saya akan bertemu Watford. Saya perlu cuba dan menyediakan pasukan, mereka yang membuat persembahan dan memberikan kami keputusan.”

Moyes pada minggu ini berkata, dia tidak akan mengubah corak serangan West Ham sekali pun mereka sudah melepaskan 23 gol musim ini dan merasakan pemainnya perlu bekerja lebih keras.

Satu-satunya pemain yang dikritik perlu meningkatkan permainan adalah pemain Austria, Marko Arnautovic yang baru tiba di Hammers musim ini, tetapi masih gagal meledak atau mencipta peluang gol.

“Saya tidak boleh komen mengenai perlawanan sebelum ini. Saya hanya boleh meneruskan apa yang orang beritahu saya, mereka tidak fikir dia (Arnautovic) datang dengan standard seperti yang diletakkan seperti di Stoke.

“Saya melihat permainannya di Stoke dan dia adalah pemain yang kamu cuba elakkan kerana kuasa dan kekuatannya.”

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:46pm
d