arena

Bukan pengakhiran seperti ini Evra

Oleh AFP

MARSEILLE: Bos Marseille, Rudi Garcia berharap Patrice Evra tidak sepatutnya mengakhiri ‘’karier menakjubkan” dengan “nota seperti ini” – merujuk kepada serangan ala karate pertahanan itu terhadap peminat sendiri.

Evra kini tidak mewakili sebarang kelab selepas dihukum kerana menyepak penyokong Marseille, sebelum bermulanya aksi Liga Europa menentang Vitoria Guimaraes di Portugal pada 2 November lalu.

Pemain berusia 36 tahun itu bersetuju dengan penamatan kontraknya dengan kelab itu, lapan hari selepas insiden memalukan berkenaan berlaku.

“Pasti menyedihkan jika penamatnya adalah seperti ini,” kata Garcia menjelang perlawanan Marseille di Bordeaux, esok.

“Saya ingin menggunakan peluang ini untuk berkata yang Pat adalah lelaki yang hebat dan kerana itu, semua orang di bilik persalinan menyukainya.”

Garcia berkata, dia berfikir keputusan Evra untuk meninggalkan kelab itu sebagai “pilihan yang terbaik” dan menambah tidak bimbang mengenai kurangnya pemimpin di bilik persalinan Marseille.

“Saya tidak kekurangan pemain yang mempunyai pengalaman dalam kumpulan ini seperti Steve Mandanda. Saya tidak akan memberikan kamu keseluruhan senarai, tetapi saya mempunyai 30 pemain yang benar-benar adalah pemimpin.”

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:51pm
d