arena

Gadis muda taruhan Terengganu

Oleh Faizul Azlan Razak

PASUKAN hoki wanita Terengganu mengambil pendekatan bijak tetapi berisiko apabila mempertaruhkan pemain muda untuk bersaing di Kejohanan Hoki Wanita Piala Razak 2017 yang membuka tirainya, hari ini.

Bagaimanapun, Terengganu yang mendapat sentuhan pengendali Pasukan Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Muhammad Harun Al-Rashid Samri tetap menyasarkan kedudukan di kelompok lima terbaik di kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu.

Muhammad Harun berkata, pasukannya dibarisi pemain yang bakal membawa cabaran Terengganu di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Sehubungan itu, katanya sasaran yang diletakkan adalah realistik kerana pemainnya masih muda dan dan diharapkan kejohanan itu memberi pendedahan berguna kepada mereka untuk menimba pengalaman.

“Saya mengharapkan pemain jangan takut dengan kesilapan, sebaliknya memberikan persembahan yang meyakinkan dalam setiap perlawanan.

“Malah, saya yakin barisan muda yang dipertaruhkan ini mampu memberi cabaran kepada pasukan dan pemain berpengalaman,” katanya.

Namun, Muhammad Harun mengakui perasaan gugup mungkin tetap menghantui pasukannya dan pemain termuda yang dipertaruhkan ialah Zahratul Farhana Sofea Muhamad Roslan, 15.

Baginya, kejohanan ini medan terbaik buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu mempamerkan kebolehannya berdepan pemain kebangsaan.

“Saya harap mereka dapat beraksi dengan yakin dan jangan takut melakukan kesilapan. Malah, saya tidak terkejut jika pemain muda ini melakukan kejutan dalam kejohanan,” katanya.

Terengganu yang diundi dalam kumpulan A bakal berdepan juara bertahan, Pahang diikuti Kuala Lumpur, Indonesia dan Perak.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 4:39pm
d