arena

Veledrom Rakyat beroperasi

Oleh Azlan Muhammad Zain

VELODROM Rakyat di Ipoh akhirnya boleh digunakan sepenuhnya bagi latihan dan kejohanan tempatan dalam masa terdekat selepas selesai dibaikpulih.

Berita gembira itu disahkan Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA), Datuk Amarjit Singh Gill apabila beberapa pelumba negeri berkenaan sudah cuba menggunakan trek dan sistem masa elektronik yang dipasang pada velodrom kategori dua itu.

“Akhirnya selepas tiga tahun, velodrom ini akan dapat kembali digunakan dalam masa terdekat. Beberapa pelumba mencuba trek, kelmarin bagi menguji sistem masa elektronik yang dipasang. Ternyata ia satu perkembangan yang positif kepada sukan berbasikal trek negara.

“Semua infrastruktur sudah sedia, cuma beberapa kerja akhir masih dilakukan pekerja. Bagaimanapun, kita akan mengadakan satu kejohanan dalam masa terdekat untuk menguji semua infrastruktur yang berkaitan seperti sistem masa elektronik supaya ia berjalan lancar,” jelasnya.

Velodrom pertama negara berkenaan menjalani proses baik pulih dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM11 juta pada 2016 bagi membolehkan ia kembali digunakan seperti biasa selepas mengalami kerosakan trek.

“Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memastikan velodrom ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi latihan dan kejohanan peringkat umum kerana kawasan sekitarnya turut dilengkapi dengan asrama,” tambahnya.

Naib Presiden PKBM itu turut menjelaskan pihaknya masih dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan serta kelulusan dari Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan berharap ia mampu diselesaikan secepat mungkin.

“Saya fikir ia bukan persoalan utama kerana bagi penganjuran kejohanan antarabangsa, Velodrom Nasional di Nilai sudah tersedia manakala Velodrom Rakyat boleh menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan.

“Namun, saya jangkakan proses mendapatkan pengiktirafan dan kelulusan UCI itu akan mengambil masa sebulan lagi. Pihak kontraktor yang dilantik membina trek, Sander Douma bertanggungjawab dan wajib mendapatkannya sebelum menyerahkan kepada PKBM dan KBS,” tambahnya.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 5:19pm
d