arena

Valencia terus tekan Barcelona

Oleh AFP

MADRID: Valencia terus memberi tekanan kepada Barcelona dengan mengekalkan jurang empat mata di belakang di belakang pendahulu La Liga itu, menerusi kemenangan 2-0 ke atas Espanyol, awal pagi tadi.

Pasukan itu mencatat rekod kelab dengan kemenangan kelapan berturut-turut untuk berkelebihan enam mata mengatasi Real Madrid, dan kini bakal berdepan dengan Barcelona dalam aksi yang begitu dinantikan, Ahad depan.

“Kami mahu menewaskan Barcelona dan terus berada pada kedudukan terbaik dalam liga tetapi buat masa ini, kami tidak mahu dilihat sebagai calon untuk menjadi juara liga musim ini,” kata pembantu jurulatih, Ruben Uria kepada pemberita selepas jurulatih, Marcelino Garcia Toral diarahkan ke tempat duduk penyokong di babak kedua.

Namun, Valencia dilihat lebih bernasib baik apabila Espanyol lebih banyak mendominasi perlawanan dan percubaan mereka singgah di tiang sebanyak dua kali.

“Mereka beraksi dengan baik pada babak pertama, namun kami berjaya menyerap asakan, bertahan dengan mantap serta terus memberi saingan,” kata penjaring gol kedua Valencia, Santi Mina.

“Pasukan besar sering memenangi perlawanan seperti ini. Apa yang penting adalah kami meraih kemenangan.”

Pada aksi terbabit, Valencia nyaris dikejutkan apabila percubaan Gerard Moreno dan Sergi Darder menggegar tiang dalam tempoh enam minit sebelum tamat babak pertama.

Tekanan yang dirasai Valencia turut terkena tempias kepada Marcelino yang diarahkan ke tempat duduk penonton apabila membantah keputusan pegawai perlawanan dan dijangka akan digantung untuk aksi bertemu Barcelona.

Namun, Valencia mendapat rentak apabila memecah kebuntuan menerusi percubaan Geoffrey Kondogbia dari jarak 23 meter pada minit ke-67, sebelum Mina mengesahkan tiga mata untuk pelawat dengan gol kedua pada minit ke-83.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 10:00am
d