arena

Schalke kejar Bayern

Oleh AFP

BERLIN: Jaringan Franco di Santo dan Guido Burgstaller membantu Schalke 04 menewaskan Hamburg 2-0, sekaligus membolehkan skuad ‘Royal Blues’ itu melonjak ke tangga kedua Bundesliga, awal pagi tadi.

Di bawah kendalian Domenico Tedesco yang berusia 32 tahun itu, Schalke belum tewas dalam tujuh perlawanan sejak September dan kemenangan di Gelsenkirchen itu membolehkan mereka kini berada di belakang pendahulu Bundesliga, Bayern Munich.

“Ini adalah detik yang hebat untuk keseluruhan pasukan. Kami bekerja begitu keras selama beberapa minggu kebelakangan ini,” kata pemain tengah Schalke, Max Meyer.

Schalke membuka jaringan di hadapan 62,271 penyokong di Veltins Arena menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Di Santo pada minit ke-17, selepas Yevhen Konoplyanka dikasari di dalam kotak penalti.

Rayuan Hamburg untuk mendapatkan sepakan penalti apabila mendakwa bola terkena tangan pertahanan Schalke, Thilo Kehrer digagalkan di penghujung babak pertama, hasil keputusan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tiga mata sah menjadi milik tuan rumah apabila Konoplyanka melakukan hantaran kepada Burgstaller yang menyudahkannya dari jarak dekat untuk gol kedua Schalke ketika perlawanan berbaki 12 minit.

Kemenangan itu pastinya memberi motivasi terbaik kepada Schalke yang akan berdepan aksi tetangga, bertemu Borussia Dortmund, Sabtu ini. Ketika ini, Dortmund jatuh ke tangga kelima liga apabila sekadar mengutip satu mata dalam lima perlawanan terakhir.

“Kami lebih fokus perlawanan demi perlawanan. Kami bukan pasukan pilihan di Dortmund dan aksi terbabit adalah 50-50,” kata Meyer.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 11:07am
d