arena

'Tunggu sekurang-kurangnya 10 tahun'

Oleh Firdaus Hashim

PENGARAH Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo (gambar) berpendapat, wajah bola sepak Malaysia memerlukan satu transformasi secara besar-besaran dengan semua pihak perlu bersatu hati untuk merealisasikan misi itu.

Jelas De Roo, beberapa perubahan besar dalam ekosistem bola sepak tempatan mesti dilakukan mulai sekarang demi kejayaan di masa hadapan.

“Bagi mencapai kejayaan berdasarkan visi dan reka bentuk lebih daripada nasib, beberapa perubahan besar perlu dilakukan dalam bola sepak Malaysia.

“Tidak semua orang sukakan perubahan! Perubahan membuatkan kita berasa tidak selesa dan secara semulajadinya kita tidak mahu menjadi tidak selesa. Kita mahu kekal di mana kita berada dan menjaga apa yang kita ada.

“Perubahan juga sering bermaksud kehilangan muka bagi sesetengah orang atau orang itu takut mereka mungkin kehilangan kawalan. Ia sudah tentu bermakna lebih banyak kerja untuk kita semua. Secara semulajadinya, inilah perkara-perkara yang kita takutkan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook FAM.

Ujarnya lagi, dalam melalui proses perubahan itu, kesabaran adalah kunci kepada kejayaan dengan beliau meletakkan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk melihat hasil daripada perubahan itu.

“Ia memang akan mengambil masa. Negara-negara yang mencapai kejayaan dari segi keputusan kebelakangan ini dan membangunkan pemain-pemain terkemuka seperti Jerman dan Belgium misalnya, sudah mula membuat perubahan dasar sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum itu.

“Negara-negara ini sudah mempunyai infrastruktur dan jurulatih, mereka hanya melaksanakan keseragaman di seluruh negara cara bermain dan membangunkan pemain-pemain muda. Kita perlu melakukan lebih daripada itu!,” katanya yang dilantik FAM pada Julai lalu.

Malah, beliau juga menegaskan perubahan yang dilakukan perlu bermula dari dalam sebuah organisasi.

“Sebab itulah perubahan sentiasa harus dimulakan daripada pihak tertinggi dalam organisasi dan ia sudah tentu sebab utama mengapa saya membuat keputusan untuk menerima jawatan sebagai Pengarah Teknikal FAM beberapa bulan yang lalu,”katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 4:05pm
d