arena

PKNS idam tagih semula bisa Gabi

Oleh Firdaus Hashim

KELAB Liga Super, PKNS FC berhasrat untuk melamar semula bekas tonggak importnya, Gabriel Guerra selepas disahkan tidak lagi bersama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim depan.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata, pihaknya bersedia menawarkan tempat kepada penyerang kelahiran Argentina itu yang pernah membantu skuad The Red Ants muncul naib juara Piala FA pada musim lalu.

“Memang kita ada hasrat untuk membawa semula Gabbi (Gabriel Guerra) ke pangkuan pasukan seandainya dia tidak lagi bersama JDT.

“Kita amat mengenali aksi dan corak permainanya, malah dia juga sebenarnya mula mencipta nama di Liga Malaysia (Liga M) dengan PKNS.

“Jadi kalau boleh kita mahu mengambilnya semula dan berharap dia tidak keberatan untuk kembali membantu PKNS,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Guerra, 24, yang menyertai JDT II pada awal musim ini sebelum dinaikkan ‘pangkat’ ke skuad utama berjaya membantu skuad Harimau Selatan mempertahankan Liga Super buat kali keempat berturut-turut selain memenangi Piala Malaysia.

Malah, dia juga muncul antara penjaring terbanyak bagi skuad JDT dan JDT II apabila merekodkan 25 gol dalam 43 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Bagaimanapun, JDT hari ini membuat keputusan mengejut apabila melepaskan Guerra bersama seorang lagi penyerang import mereka iaitu Gonzalo Cabrera yang diumumkan oleh Pengarah Sukan, Martin Prest di laman rasmi Facebook kelab itu, Johor Southern Tigers.

“Kita tahu bagaimana dia bermain, dan dia juga tahu kehendak pasukan dan pengurusan. Jadi rasanya tiada masalah buat dia untuk menyesuaikan diri dan saya percaya kehadirannya mampu menambah sengat di jentera depan pasukan,” kata Mahfizul.

tamat.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 6:08pm
d