arena

Adli mahu jadi peninju profesional

Oleh Mohd Khairie Khalid

PERALIHAN ke era tinju profesional tahun depan dijangka mampu menjadikan dirinya petinju lebih ‘berprestij’ selepas ini.

Malah Adli Hafidz Mohd Pauzi menyifatkan keputusan itu sesuatu yang tepat memandangkan dia merancang untuk memenangi tali pinggang Asia dalam masa dua tahun.

Pemenang pingat perak kategori light heavy 81 kilogram di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu itu menegaskan dia sedikit pun tidak menyesal meninggalkan skuad negara.

Sebaliknya ia keputusan tepat kerana mahu membina masa depan lebih cemerlang dalam sukan tinju selain dapat mengatur perjalanan hidup lebih sempurna bersama keluarga.

“Selepas Sukan SEA, saya kembali bekerja dan membuat keputusan untuk beralih ke peringkat profesional berbanding amatur sebelum ini.

“Apabila saya beralih ke profesional, masa yang ada akan lebih fleksibel dan dapat membahagikan antara kerjaya dan sukan tinju.

“Sukan SEA hanyalah batu loncatan untuk saya. Jadi peluang untuk mendapatkan tali pinggang adalah cerah. Saya juga meletakkan sasaran untuk memenangi tali pinggang Asia dalam masa dua tahun,” kata Adli ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Adli, 28, yang bertugas sebagai penguasa kastam di Menara Kastam Johor Bahru berkata, dia ketika ini dalam persediaan menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Tinju Profesional Piala Menteri besar Johor yang dijadual tahun depan.

Dia akan menjalani latihan bersama pemenang pingat emas Sukan SEA Laos 2009, Muhammad Farkhan Mohd Haron selain berkemungkinan menjalani latihan di luar negara seperti di Filipina serta Indonesia.

Mengulas mengenai Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia tahun depan, Adli menjelaskan dia akan memberi pertimbangan jika dipanggil untuk menyertai skuad negara.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 6:38pm
d