arena

Zarif rancakkan skuad recurve negara

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) percaya saingan untuk mewakili negara dalam acara recurve akan lebih sengit selepas Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli diserap ke dalam program podium tahun depan.

Empat pemanah yang berada dalam program tahun ini diketuai Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Mohd Ikram Joni, tidak lagi mendapat tempat automatik bagi menyertai saingan luar negara.

“Kami gembira terdapat tambahan seorang atlet muda dalam Program Podium. Saya pasti ia akan mencetuskan saingan sengit dalam kalangan mereka untuk menyertai sebarang kejohanan antarabangsa tahun depan.

“Pemilihan ke kejohanan antarabangsa adalah berdasarkan prestasi, tidak mengira sama ada seseorang itu adalah atlet yang lama atau baharu. Jadi mereka perlu bersaing dalam merebut tempat,” kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Kebiasannya, bagi sesebuah kejohanan antarabangsa hanya empat pemanah dihantar bagi menggalas cabaran negara.

“Sekurang-kurangnya apabila timbul sebarang masalah sama ada membabitkan prestasi atau sebagainya, kita sudah mempunyai pemanah untuk mengisi kekosongan,” katanya.

Zarif, 19, mula mendapat perhatian apabila meraih pingat emas dalam acara individu dan berpasukan di Kejohanan Memanah Asia Tenggara pada Februari sebelum dinamakan untuk menyertai Sukan SEA pada Ogos bagi menggantikan Ikram yang bergelut dengan masalah prestasi.

Selain siri Piala Asia dan Dunia tahun depan, Zarif turut berpeluang menyertai skuad recurve negara pada saingan Sukan Asia di Indonesia pada Ogos.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 6:55pm
d