arena

MU asah taji di Vietnam

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) bakal terbang ke Vietnam pada 4-12 Januari depan sebagai persediaan pramusim Liga Malaysia musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Noor Azman Rahman berkata, keputusan berkenaan dinyatakan Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas perbincangan bersama ketua jurulatih Eduardo Almeida kepada persatuan berkenaan sebelum ini.

Katanya, kesemua pemain termasuk pegawai pasukan akan berada di Vietnam kira-kira 8 hari bagi menjalani latihan dan mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan terbaik di negara terbabit.

Menurutnya, persediaan berkenaan diyakini mampu membentuk pasukan mantap menjelang saingan Liga Malaysia yang dijadualkan bermula pada Februari 2018.

Musim ini, skuad bimbingan pengendali dari Australia Erric Williams mengadakan aksi persahabatan dan persediaan pramusim di Kemboja dengan menguji pemain skuad terbabit ketika itu termasuk Amri Yahyah dan Sergio Aguero dari Argentina.

Sementara itu, Yusoff berkata, keputusan ke Vietnam antara pendekatan bagi Almeida dan barisan pembantunya menguji pasukan selepas mengekalkan sembilan pemain musim ini yang dicadangkan panel kejurulatihan MU.

“Apa yang kami harapkan mereka akan membentuk gandingan keserasian yang pantas menjelang saingan pertama bermula kelak.

“Dengan persiapan semua pasukan amat rapi, kami juga mengharapkan kunjungan berkenaan akan membuahkan hasil cemerlang sebagai persediaan penting buat Almeida membentuk barisan terbaik ,” katanya.

Bagi saingan 2018, skuad Hang Tuah hanya mengekalkan import Korea, Jeon Woo Young dengan tidak menyambung kontrak Felipe de Souza (Brazil) , Marko Simic (Croatia) dan Jasmin Macenovic (Macedonia) dengan MU juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran import Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammed Ghaddar.

Namun, sehingga kini pemain kelahiran Lubnan itu masih belum memberi kata putus kepada MUSA sehingga menimbulkan tanda tanya berkaitan minat bekas pemain Kelantan itu menyarung jersi skuad Hijau Putih.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 9:07pm
d