arena

Pahang benam Indonesia

Oleh Saiful Affendy Sapran

PAHANG mengesahkan tiket ke separuh akhir kejohanan hoki Piala Razak Wanita selepas menewaskan Indonesia 4-0 hari ini sekali gus kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam Kumpulan A.

Meskipun masih berbaki satu perlawanan bertemu Perak esok, juara bertahan itu sudah mengumpul maksimum sembilan mata untuk muncul pasukan pertama ke separuh akhir.

Di sebalik kemenangan itu, ketua jurulatih, Ashraf Benadict Arraice Abdullah bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasi pemainnya hari ini.

“Prestasi pemain merosot sebab mereka sudah melalui tiga perlawanan berturut-turut.

“Ia jelas dapat dilihat pada separuh masa pertama apabila pemain kurang fokus. Saya rasa semua pasukan yang perlu beraksi tiga perlawanan berturut-turut juga akan mengalami masalah sama,” katanya.

Untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Perak esok, Ashraf tetap mahukan kemenangan.

“Saya tetap mahukan kemenangan dan tidak mahu pemain berasa selesa. Fokus utama kami untuk persiapan separuh akhir,” katanya.

Dibarisi hampir separuh pemain kebangsaan, Wan Nor Faiezah Md Saiuti meletakkan Pahang di depan pada minit keenam menerusi jaringan padang sebelum Siti Noor Amarina Ruhani mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua hasil pukulan sudut penalti minit ke-17.

Pahang terus selesa selepas Siti Zulaika Hussin menambah gol ketiga menerusi jaringan padang minit ke-48 sebelum J Thina Tharshini mengesahkan kemenangan dengan gol keempat, juga gol padang minit ke-52.

Sementara itu, selepas tewas tipis kepada ATM pada perlawanan pertama Kumpulan B, Johor menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir selepas menang 2-1 ke atas Melaka.

Penyerang negara, Hanis Nadiah Onn menjadi kunci kemenangan Johor apabila menyumbang kedua-dua gol itu hasil jaringan padang minit ke-29 dan 30.

Melaka membuka tirai jaringan menerusi penalti stroke disempurnakan kapten Nur Aisyah Yaacob seawal minit ketujuh.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 10:59pm
d