arena

'Semuanya bergantung pada Liverpool'

Oleh Reuters

SEVILLE: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan ia bergantung kepada pasukan itu dalam memastikan tonggak seperti Philippe Coutinho akan terus kekal bersama pasukan susulan Barcelona dikatakan akan terus memancing pemain berkenaan.

Pendahulu La Liga itu menghabiskan jendela perpindahan musim lalu untuk mendapatkan khidmat pemain Brazil itu namun usaha mereka berakhir dengan kegagalan apabila The Reds meletakkan harga 200 juta Euro (RM973 juta) untuk pemain terbabit.

Bercakap pada sidang media menjelang aksi Liga Juara Juara bertemu Sevilla, Klopp nyata tidak terkesan dengan sebarang laporan daripada media Sepanyol yang menyatakan Barcelona akan kembali dengan tawaran baharu pada jendela perpindahan Januari nanti.

“Saya tidak risau. Satu saja peluang untuk kita berjaya iaitu dengan memiliki pemain yang baik dalam pasukan. Kita perlu memastikan mereka terus kekal di sini dan tidak berpindah ke mana-mana pasukan.

“Jika mereka masih mahu pergi ke pasukan lain, mereka mungkin ada alasan lain tetapi itu bukan masalah saya ketika ini kerana perjalanan masih lagi panjang. Ini pasukan yang kita ada sekarang dan kami mahu mencipta seberapa banyak kejayaan.”

Dalam masa sama, Liverpool akan mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan E jika mereka berjaya menundukkan Sevilla dalam pertembungan buat kali ketiga antara kedua-dua pauskan itu.

Anak buah Klopp tewas di tangan kelab Sepanyol itu pada final Liga Europa 2016 dan terikat 2-2 di Anfield hasil jaringan penyamaan minit akhir Joaquin Correa.

“Anda tidak boleh memilih di mana anda boleh dapatkan mata pada aksi peringkat kumpulan. Perlawanan menjadi lebih penting ketika aksi peringkat kumpulan semakin menghampiri penghujungnya.

“Semua orang tahu jika kami tidak dibolosi pada aksi pertama itu, situasi akan bertambah baik buat kami.”

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 9:30am
d