arena

FAI buat laporan polis

Oleh AFP

DUBLIN: Persatuan Bolasepak Ireland (FAI) membuat laporan polis selepas pertahanannya, Cyrus Christie menerima kecaman yang berbaur perkauman di laman media sosial.

Selepas menjaringkan gol sendiri apabila Ireland tewas 5-1 pada aksi ‘play-off’ Piala Dunia bertemu Denmark, pertahanan kanan Middlesbrough itu menerima ‘tweet’ yang mendesak dia ‘bermain untuk Jamaica’ dan ‘tweet’ berkaitan pembunuhan di depan khalayak ramai.

Rakan sepasukannya, James McClean menyebut mengenai kecaman terbabit ketika bercakap pada majlis Anugerah Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Ireland dan FAI sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menerusi kemaskini di laman Instagram yang dikongsi oleh FAI, Christie berkata ‘begitu banyak komen berbaur perkauman yang menarik perhatian saya ketika kempen Kelayakan Piala Dunia sepanjang beberapa bulan ini.

“Komen terbabit tidak mewakili penyokong kami atau sukan ini. Kami sememangnya kecewa kerana tidak layak ke Piala Dunia sama seperti yang dirasai anda semua.

“Cuma, saya sedih kerana isu perkauman masih lagi menghantui permainan yang kita sukai ini.”

“Saya percaya kita tidak seharusnya memberi muka kepada golongan ini yang sebenarnya bukan penyokong bola sepak sejati”

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 10:04am
d