arena

Pahang tolak aksi Piala AFC

Oleh Asrol Awang dan TN Alagesh

PAHANG menolak tawaran untuk beraksi pada kejohanan Piala AFC tahun depan, memilih untuk fokus sepenuhnya terhadap liga termpatan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Norlia Abdul Manaf berkata, mereka ditawarkan menyertai Piala AFC menggantikan Kedah menerusi surat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November lalu.

Bagaimanapun katanya, tawaran itu ditolak menerusi surat balasan bertarikh 14 November lalu.

“Keputusan itu adalah untuk memberi sepenuh perhatian kepada Liga Malaysia musim 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengesahan PBNP itu menamatkan spekulasi skuad Tok Gajah menggantikan juara Piala FA, Kedah selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan AFC.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan bersama Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menawarkan Pahang beraksi pada Piala AFC 2018.

“Keputusan itu dilakukan selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit,” menurut Hamidin.

Berdasarkan pencapaian musim ini, Pahang menduduki tempat kedua Liga Super dan naib juara Piala FA.

Pahang kali terakhir tampil pada Piala AFC 2015 sebelum tersingkir pada suku akhir.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 2:54pm
d