arena

Dua tonggak import UiTM angkat kaki

Oleh Nazri Abu Bakar

UiTM FC terpaksa melupakan khidmat dua bintang importnya, Akanni-Sunday Wasiu dari Nigeria dan Do Dong Hyun dari Korea Selatan selepas mereka memilih haluan baharu musim depan.

Pengurus UiTM, Mustaza Ahmad berkata, dua pemain itu dipercayai menyertai dua pasukan terbaik Liga Malaysia musim depan selepas tawaran UiTM FC menyambung kontrak mereka ditolak.

Setakat ini UiTM FC hanya mengekalkan Marcel Dechi N’Guessan dari Ivory Coast dengan fokus pencarian import baharu terarah kepada pemain Cameroon, Latvia, Brazil, Korea Selatan dan Jepun.

“Kami akur dengan pilihan Sunday yang juga penyerang sensasi UiTM musim ini dan pemain tengah Dong Hyun tambahan sumber kewangan yang agak terhad hingga membataskan usaha kami menawarkan gaji lebih lumayan.

“Walaupun kami sudah memberi tawaran dengan peningkatan gaji lebih baik berbanding musim ini, namun kecemerlangan dan ketangkasan mereka menyebabkan mereka menjadi buruan banyak pasukan,” katanya.

Sementara itu, seramai 18 pemain tempatan dikekalkan bagi musim depan.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 9:36pm
d