arena

Red Giants tunggu surat

Oleh Devinder Singh

SELANGOR mungkin tidak akan beraksi dalam kempen Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun depan meskipun mereka berpeluang untuk mengisi slot yang ditinggalkan Kedah.

Jika benar tiada pasukan yang bersedia untuk mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) ke kejohanan peringkat Asia itu, ia pasti memberi tamparan hebat buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Juara Piala FA, Kedah tidak dibenarkan bertanding kerana gagal mendapatkan lesen AFC manakala Pahang, naib juara Liga Super dan Piala FA yang layak menggantikan skuad Helang Merah membuat keputusan menolak tawaran FAM untuk beraksi dalam Piala AFC.

Dengan Felda United yang menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga dan Perak (kelima) juga tidak memiliki lesen AFC, maka pasukan di tangga keenam liga, Selangor adalah calon yang tinggal untuk beraksi bersama JDT di kejohanan itu.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolaseapk Selangor, Datuk Seri Subahan Kamal belum mahu membuat sebarang keputusan sama ada mereka akan membuat penampilan semula dalam Piala AFC selepas kali terakhir pada 2016.

Ketika ditanya jika FAM sudah menawarkan slot Piala AFC kepada Selangor, Subahan berkata: “Setahu saya, belum ada apa-apa maklumat. Kita tunggu surat daripada FAM terlebih dahulu dan kemudian baru kami buat keputusan.

Ini bukan kali pertama Selangor mendapat peluang seperti ini di mana pada 2016, mereka juga tidak layak secara automatik dalam Piala AFC.

Skuad Red Giants yang menduduki tangga kedua Liga Super pada 2015 mendapat slot itu dengan menggantikan kelab dari Singapura, LionsXII yang muncul juara Piala FA.

Berdasarkan peraturan, AFC dijangka tidak akan menerima penyerataan pasukan yang berada di bawah kelompok enam pasukan teratas teratas Liga Super meskipun mempunyai lesen AFC iaitu PKNS FC,T-Team dan Pulau Pinang.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 9:59pm
d