arena

Spurs sah juara Kumpulan H

Oleh AFP

DORTMUND: Tottenham Hotspur mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan H selepas jaringan Harry Kane dan Son Heung-min membolehkan mereka bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas Borussia Dortmund, awal pagi tadi.

Kane dan Son masing-masing meledak pada minit ke-49 dan minit ke-76 untuk membantu Spurs mengumpul 13 mata sekali gus meletakkan Real Madrid di tempat kedua ketika saingan berbaki satu perlawanan.

Spurs memperagakan persembahan meyakinkan untuk bangkit apabila ketinggalan selepas Pierre-Emerick Aubameyang menamatkan kemarau jaringan dalam lima perlawanan dengan gol pembukaan pada minit ke-31.

Anak buah Mauricio Pochettino turut berkelebihan tiga mata mengatasi juara Eropah, Real Madrid selain turut memiliki rekod pertembungan yang lebih baik meskipun gergasi Sepanyol itu membelasah APOEL 6-0 di Nicosia.

Keputusan ini sekali gus menutup peluang Dortmund untuk mara ke pusingan 16 terbaik dan meletakkan tekanan ke atas pengendali Dortmund, Peter Bosz yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir

Dortmund yang berada di tangga ketiga kini terikat dua mata bersama APEOEL Nicosia mengintai peluang ke Liga Europa pula.

“Kami sungguh gembira dengan persembahan dan keputusan ini terutamanya dengan semangat juang yang ditunjukkan pada babak pertama ketika kami sekurang-kurangnya perlu mengelak daripada mencatat kekalahan pada aksi ini.

“Jaringan Kane nyata mengubah segalanya. Satu pencapaian yang hebat untuk menjadi juara kumpulan,” kata Pochettino.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 9:50am
d