arena

Kebangkitan ajaib Sevilla

Oleh AFP

SEVILLE: Sevilla pamer kebangkitan menakjubkan apabila seri 3-3 menentang Liverpool meskipun ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan penyamaan minit akhir Guido Pizarro.

Roberto Firmino meledak dua gol dan Sadio Mane menghasilan satu jaringan ketika anak buah Jurgen Klopp itu memiliki peluang terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Namun, Wissam Ben Yedder merapatkan kedudukan dengan dua gol pada babak kedua selepas Pizarro meledak gol penyamaan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Sevilla di laman sendiri dalam tempoh setahun.

“Aksi yang baik di separuh masa pertama namun pada babak kedua, kami melakukan kesilapan apabila kami ‘tidak lagi bermain bola sepak’,” kata pengurus The Reds, Jurgen Klopp.

“Kami perlu terus menguasai permainan tetapi kami tidak dapat melakukannya.

“Kami menjadi sedikit pasif. Jaringan pertama mereka mengubah atmosfera perlawanan dan memberi motivasi kepada mereka.”

Kedua-dua pasukan berada pada kedudukan terbaik untuk mara dengan Liverpool kekal mendahului menerusi sembilan mata diikuti Sevilla lapan mata dan Spartak Moscow di tangga ketiga dengan enam mata.

Liverpool akan melayan kunjungan kelab Russia itu di Anfield sementara Sevilla akan berkunjung ke Maribor untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Ia perlawanan yang sungguh hebat. Saya begitu beremosi dengan apa yang berlaku pada perlawanan ini,” kata jurulatih Sevilla, Eduardo Berizzo.

“Saya gembira dengan semangat juang demi maruah yang ditunjukkan barisan pemain saya.”

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 11:46am
d