arena

PKNP hilang dua tonggak

Oleh Rodly Fadly

JURULATIH PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui keputusan Shahrel Fikri Md Fauzi dan penyerang import dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo meninggalkan pasukan sebagai satu kehilangan besar kepada kelab itu.

Hyeon Woo, 28, yang menyertai PKNP pada pertengahan musim sah menjadi milik Terengganu sementara Shahrel juga hampir pasti mengangkat kaki menyertai sebuah kelab ternama.

“Seperti kita sedia maklum, Kim sudah sah meninggalkan PKNP. Kami sudah cuba mengekalkan dia bersama pasukan tapi ternyata tidak mampu menandingi tawaran yang dibuat Terengganu.

“Ketika menyertai PKNP Jun lalu, kami hanya menawarkan kontrak hingga akhir musim sahaja untuk menilai sejauh mana kemampuannya.

“Ternyata dia seorang penyerang yang bagus, akibatnya dia disambar oleh kelab lain. Kami tidak boleh menghalang kerana kontraknya bersama PKNP sudah tamat,” katanya.

Walaupun situasi agak berbeza dengan Shahrel yang masih mempunyai kontrak sehingga hujung 2019, namun Bakar berkata, PKNP mengambil pendekatan tidak mahu menyekat kemahuan pemain itu untuk berpindah.

“Ini soal rezeki orang, kita tidak patut sekat. Shahrel mendapat tawaran gaji yang jauh lebih baik daripada apa yang mampu kami tawarkan, jadi biarlah dia pergi.

“Walaupun setakat ini belum sah dia berpindah, namun saya boleh katakan 99.9 peratus dia akan meninggalkan PKNP kecuali berlaku perkara di luar dugaan.

“Rundingan antara kedua-dua kelab sudah sampai ke peringkat akhir. Saya jangka ia hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan,” kata Bakar tanpa mahu mendedahkan kelab yang bakal disertai anak didiknya itu.

Namun, spekulasi mengaitkan Shahrel akan berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) yang setakat ini sudah mendapatkan dua pemain muda, Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba.

Jurulatih itu mengakui ketiadaan Shahrel yang juga penjaring terbanyak kelab itu musim ini dengan 20 gol akan meninggalkan impak besar kepada PKNP.

“Kami boleh berusaha mencari pemain import setaraf Kim tapi sukar untuk PKNP melahirkan seorang lagi pemain sehebat Shahrel.

“Saya akan merasai kehilangannya kerana dia saya didik sejak bersama skuad Piala Presiden, apatah lagi dia antara penyerang tempatan terbaik sekarang.”

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 7:34pm
d