arena

Barca layak walau seri

Oleh AFP

TURIN: Lionel Messi memulakan aksi dari bangku simpanan namun Barcelona mara ke kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi dan berkedudukan teratas Kumpulan D selepas seri 0-0 berdepan Juventus di Turin.

Pasukan yang beraksi di pentas final musim lalu, Juventus kekal di tangga kedua, satu mata mengatasi pasukan tangga keempat Sporting Lisbon, dan boleh memastikan mereka layak dengan kemenangan bertemu Olympiakos pada 5 Disember.

Juara Eropah lima kali, Barca menghadapi perlawanan itu dengan hanya memerlukan satu mata untuk kedudukan pertama Kumpulan D, manakala Juventus perlu mengelak kekalahan dan Sporting gagal menewaskan Olympiakos di Lisbon untuk layak.

Namun pasukan Portugal itu menewaskan lawan dari Greece 3-1 di Lisbon, menyebabkan Juve perlu tiga mata di Athens bagi mengesahkan tempat ke kedudukan 16 terbaik.

Bintang Barcelona, Messi diletakkan di bangku simpanan dengan Ernesto Valverde memilih bagi merehatkan pemain Argentina itu menjelang pertemuan pasukan teratas La Liga Ahad ini berdepan Valencia.

“Ada masanya walaupun dia memiliki kualiti yang hebat, Leo perlu berehat,” kata Valverde.

Messi masuk selepas minit ke-56 tetapi gagal mengulangi dua jaringan diciptanya ketika menang 3-0 mengatasi Juve di Camp Nou pada September.

“Leo banyak bermain sejak permulaan musim. Sama seperti orang lain dia sedikit kepenatan,” kata jurulatih Barcelona itu.

“Kami merasakan akan ada banyak ruang pada babak kedua dan adalah amat bagus memberikannya sedikit rehat dengan tumpuan kepada kejuaraan.

“Akan sentiasa ada risiko tidak menggunakannya tetapi ia keputusan yang sudah difikirkan.”

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 9:50am
d