arena

Tonik terbaik Blues layan Reds

Oleh Reuters

LONDON: Antonio Conte gembira dengan kebangkitan ditampilkan barisan pemainnya sejurus mengharungi detik sukar dan menyifatkan mereka menunjukkan karektor hebat melangkah ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Kempen Chelsea di peringkat Eropah berdepan tamparan pada bulan lalu selepas kalah 3-0 kepada AS Roma tetapi juara Inggeris itu merampas kembali tangga teratas Kumpulan C dengan kemenangan 4-0 ke atas Qarabag, di Azerbaijan, semalam.

“Pemain-pemain ini menunjukkan karektor yang hebat,” kata Conte selepas perlawanan. Sejak permulaan kami berdepan begitu banyak masalah pada musim ini. Jawapan kami sentiasa positif, hampir sentiasa positif.

“Sudah tentu, aksi separuh masa kedua menentang Roma adalah buruk. Tetapi pemain-pemain ini menunjukkan kepada saya setiap hari komitmen mereka yang hebat, keinginan yang hebat dan kemahuan untuk bertarung.”

Conte sekali lagi membangkitkan isu kepadatan jadual membabitkan saingan Eropah dan domestik ketika tumpuan Chelsea kini beralih kepada saingan Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Anfield, Sabtu ini.

“Untuk memperoleh hanya satu hari untuk berehat dan satu hari untuk bersedia bagi perlawanan sebesar ini bukan sesuatu yang ringkas, ia bukan mudah.

“Saya juga merasakan ia tidak betul. Saya tidak mahu mencipta alasan tetapi inilah realitinya,” kata Conte.

Chelsea yang menghuni tangga ketiga liga dan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City menang dua dan seri tiga dalam lima pertemuan liga di Anfield.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 11:15pm
d