arena

Arsenal ungguli Kumpulan H walau tewas

Oleh AFP

PARIS: Arsenal kendalian Arsene Wenger muncul juara Kumpulan H Liga Europa walaupun tewas 0-1 di Cologne, manakala AC Milan turut mara ke kelompok 32 terakhir selepas membelasah Austria Vienna.

Pengendali dari Perancis itu melakukan rombakan penuh ke atas skuadnya yang menewaskan Tottenham Hotspur dalam pertemuan tetangga utara London hujung minggu lalu, dengan Olivier Giroud, Jack Wilshere dan Danny Welbeck tersenarai dalam kesebelasan utama.

Namun Gunners tewas hasil jaringan penalti minit ke-62 oleh Sehrou Guirassy selepas penyerang Perancis itu dijatuhkan oleh Mathieu Debuchy dalam kotak penalti.

Cologne, yang belum menang sebarang aksi Bundesliga musim ini, melonjak ke tangga kedua dengan berbaki satu perlawanan dan Arsenal mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan selepas BATE Borisov dan Red Star Belgrade seri 0-0 di Belarus.

“Kami tewas pada perlawanan yang menyaksikan Cologne hanya mempunyai satu percubaan ke arah gol menerusi sepakan penalti,” kata Wenger.

“Kami sentiasa kekurangan sesuatu untuk mendapatkan gol. Cologne bertahan dengan penuh semangat dan bagi mereka ia malam yang sempurna.”

Juara Eropah tujuh kali Milan memastikan tangga teratas Kumpulan D dengan kemenangan 5-1 ke atas Austria Vienna di San Siro.

Christoph Monschein meletakkan pelawat di depan, tetapi skuad kendalian Vincenzo Montella bangkit dengan Andre Silva dan Patrick Cutrone masing-masing meledak dua gol manakala satu gol lagi disumbang oleh Ricardo Rodriguez.

Atalanta turut menempah tiket ke pusingan kalah mati apabila Bryan Cristante dan Andreas Cornelius masing-masing meledak dua gol untuk menundukkan Everton 5-1 di Goodison Park.

Robin Gosens melengkapkan kemenangan Atalanta dengan Sandro Ramirez meledak gol sulungnya buat Everton yang tewas buat kali keempat dalam lima perlawanan peringkat kumpulan.

Nabil Fekir meledak gol ke-13 musim ini untuk Lyon ketika menang 4-0 ke atas Apollon Limassol untuk membolehkan kelab Perancis itu menyertai Atalanta ke pusingan kalah mati dari Kumpulan E.

Mario Balotelli menjaringkan dua gol membantu Nice layak ke pusingan seterusnya selepas kemenangan 3-1 ke atas Zulte Waregem dari Belgium, manakala Lazio tercicir mata buat kali pertama dalam Kumpulan K selepas seri 1-1 di laman sendiri dengan Vitesse Arnhem.

Marseille seri 1-1 di Konyaspor untuk kekal mendahului lawan dari Turki itu dalam perebutan tempat kedua Kumpulan I – di belakang Salzburg yang menang 3-0 ke atas Vitoria Guimaraes.

Villarreal turut layak hasil kemenangan 3-2 ke atas Astana di Kazakhstan manakala pasukan kerdil dari Sweden, Ostersund meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan kelab Ukraine, Zorya Luhansk 2-0.

Penyerang veteran Sepanyol, Aritz Aduriz menyempurnakan dua sepakan penalti untuk kemenangan 3-2 Athletic Bilbao ke atas Hertha Berlin.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 10:28am
d