arena

Pahang mungkin lupakan Alves, Romero

Oleh Rodly Fadly

HASRAT Pahang untuk mengekalkan trio import musim depan mungkin tidak kesampaian jika rundingan antara Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dengan pemain Brazil, Matheus Alves dan Yamil Romero dari Argentina gagal mencapai kata sepakat.

Menurut sumber, setakat ini hanya pemain Gambia, Mohamadou Sumareh sahaja sudah menandatangani kontrak baharu sambil Alves dan Romero belum memberi kata putus.

Malah difahamkan, Romero yang menyertai Pahang menjelang final Piala FA menentang Kedah, Mei lalu, menyatakan hasrat untuk kembali ke negaranya.

Alves pula yang juga penjaring kedua terbanyak Liga Super musim ini dengan 18 gol, dikatakan masih bermain tarik tali dengan PBNP walaupun menunjukkan minat untuk terus bersama pasukan itu.

Jika kedua-dua pemain import itu mengambil keputusan meninggalkan pasukan berkenaan, ia sudah pasti merencatkan usaha pengendali Dollah Salleh mengekalkan tonggak yang membantu Pahang muncul naib juara Liga Super dan Piala FA, musim ini.

Tok Gajah menunjukkan kesungguhan untuk merealisasikan impian memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim depan apabila mengekalkan hampir keseluruhan pemain utamanya kecuali pemain pertahanan dari Korea Selatan, Ha Jae Won.

Malah, kehadiran bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain Singapura, Safuwan Baharuddin yang menandatangani kontrak baru-baru ini dilihat akan memperkukuhkan cabaran mereka.

Ia diakui pemain pertahanan Afif Amiruddin yang menganggap pengalaman dimiliki kedua-dua pemain itu akan menjadi nilai tambah kepada Tok Gajah musim depan.

“Saya gembira bila Mat Yo (Norshahrul) dan Safuwan menyertai kami kerana ia akan memantapkan lagi pasukan musim depan.

“Bagi saya Mat Yo masih salah seorang penyerang terbaik negara. Gandingannya bersama Alves, Sumareh dan Romero kelak, pasti menajamkan lagi serangan kami.

“Safuwan pula pemain serba boleh yang mampu bermain sama ada di posisi pertahanan, tengah mahupun serangan. Kelebihan ini satu aset kepada pasukan.

“Selepas bergelar naib juara liga dan Piala FA, sudah tentu kami mahu meningkat setapak lagi iaitu bergelar juara. Sasaran kami musim depan sekurang-kurangnya satu piala,” jelas Afif.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 11:54am
d