arena

Cabaran sukar Reds berdepan Chelsea

Oleh AFP

LONDON: Selepas dikejutkan dengan kebangkitan Sevilla dan dibelasah dalam dua pertembungan besar Liga Perdana Inggeris musim ini, Liverpool sekali lagi berdepan cabaran sukar apabila menerima kunjungan Chelsea awal pagi Ahad ini.

Liverpool berada dalam kedudukan selesa selepas 30 minit aksi Liga Juara-Juara di Sevilla, Selasa lalu apabila mendahului 3-0 dan menghampiri kelompok 16 terakhir.

Namun Sevilla bangkit pada babak kedua, diakhiri dengan gol penyamaan Guido Pizarro pada masa kecederaan untuk membantutkan seketika harapan skuad kendalian Juergen Klopp ke pusingan kalah mati.

“Terasa seperti kami tewas perlawanan itu,” kata Klopp selepas keputusan seri 3-3.

“Itu kerja kami, kehidupan kami. Kami perlu memulakan persiapan berdepan Chelsea dengan segera.

“Kami tidak boleh mengubahnya. Semua orang mahu mengubahnya, tapi ia mustahil.”

Lebih mengecewakan Liverpool mengenai keputusan seri itu, sebelum bertandang ke Ramon Sanchez Pizjuan anak buah Klopp tampak seakan sudah kembali mengorak rentak kemenangan.

Mereka memenangi tiga perlawanan terakhir liga – meledak 10 gol dan dibolosi hanya sekali – serta menguasai kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-0 ke atas Maribor.

Tragedi di Seville bagaimanapun mencerminkan kelemahan sebelumnya apabila mereka dibelasah Manchester City 5-0 September lalu dan kalah 1-4 di Tottenham Hotspur.

Musim lalu Liverpool tampil cemerlang menentang pesaing utama mereka, mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah ke atas lawan dari kelompok enam teratas.

Kini mereka kelihatan seperti pasukan belasahan selepas ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, dan bakal tercicir enam mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga ketiga jika tewas di Anfield.

Sementara itu pengendali Chelsea, Antonio Conte menimbulkan isu tempoh persiapan berbeza antara kedua-dua pasukan dengan pasukan kendaliannya hanya kembali dari Baku pada awal pagi semalam.

Namun selepas membelasah West Bromwich dan kemudian Qarabaq dalam dua perlawanan terakhir mereka dengan keputusan 4-0, Chelsea kelihatan seperti berada pada tahap kecergasan lebih baik berbanding lawan seterusnya.

Conte bagaimanapun tidak mahu memandang rendah keupayaan Liverpool dan menganggap keputusan di Seville tidak menggambarkan kemampuan sebenar anak buah Klopp.

“Saya menonton perlawanan itu dan saya rasa Liverpool bermain baik pada babak pertama dengan tiga gol,” kata Conte, skuad kendaliannya kini ketinggalan sembilan mata di belakang City.

“Bola sepak sesuatu yang pelik. Apa yang berlaku di babak kedua sukar dijelaskan. Liverpool turut mempunyai peluang pada babak kedua tapi mereka tidak bernasib baik.”

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 12:41pm
d