arena

Pochettino tuntut pemain lebih tajam

Oleh AFP

LONDON: Mauricio Pochettino menuntut Tottenham Hotspur mempamerkan sentuhan lebih tajam dalam usaha mereka untuk terus bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan ke atas West Bromwich Albion malam esok.

Pochettino mengakui Tottenham, yang tewas kepada Arsenal hujung minggu lalu dan menang di Borussia Dortmund pada Selasa, tampak bergelut apabila berdepan lawan lebih kerdil di Wembley musim ini.

Tottenham tercicir mata di laman sendiri sebelum ini ketika menentang Burnley dan Swansea, serta hanya mampu meraih kemenangan 1-0 di stadium nasional itu, gelanggang sementara mereka, berdepan Bournemouth dan Crystal Palace.

Kini Albion, yang memecat pengendalinya Tony Pulis selepas hanya dua kemenangan dalam 21 aksi Liga Perdana, sudah pasti mahu menyertai kelompok pasukan yang mampu mengejutkan Spurs di Wembley.

“Memang benar kami sedikit bergelut dengan pasukan yang datang ke Wembley dan lebih banyak bertahan,” kata Pochettino.

“Kami perlu memperbaiki permainan kami di kawasan lawan. Ada ketika kami perlu lebih bersabar ketika mengatur serangan bagi mendapatkan lebih pilihan untuk mencipta peluang.”

Albion, di bawah kendalian pengendali sementara Gary Megson, terbukti sebagai lawan sukar buat Tottenham sebelum ini.

Spurs memenangi pertembungan sama 4-0 musim lalu tetapi dalam sembilan perlawanan sebelum itu, hanya dua kemenangan dicatat dan seri enam kali.

Albion tampil lebih fizikal di bawah Pulis dan Pochettino tidak berasakan ada perubahan di bawah rejim Megson.

“Kami sedia untuk berjuang kerana mereka pasukan yang suka bermain serangan balas,” kata Pochettino.

“Mereka gigih berlatih dalam situasi bola mati, mereka amat berbahaya.

“Kami perlu bekerja keras untuk mengelak situasi ini dan memberikan mereka peluang. Kami perlu lebih agresif ketika mengawal bola atau tanpanya. Kami perlu bermain dengan corak yang menguntungkan kami.”

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 2:57pm
d