arena

PSG dijangka mampu atasi Monaco

Oleh AFP

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) dijangka mampu melebarkan jurang kepada sembilan mata di tangga teratas saingan Ligue 1 apabila bertemu juara bertahan AS Monaco, Ahad ini selepas Neymar mempamer aksi meyakinkan ketika membelasah Celtic dalam Liga Juara-Juara.

Anak buah Unai Emery sedang memburu kemenangan keempat berturut-turut ke atas pencabar terdekat mereka itu yang baru saja tewas 1-4 kepada RB Leipzig di pentas Eropah.

PSG menyaksikan dominasi kejuaraan liga yang dimenangi selama empat musim berturut-turut dinafikan Monaco musim lalu, namun kehadiran Neymar dan Kylian Mbappe menyuntik semangat baru dalam pasukan itu.

Emery menganggap perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Bayern Munich lebih penting berbanding pertembungan dua kelab teratas Ligue 1 itu.

PSG yang akan bertemu Bayern pada 5 Disember ini, perlu mengelak daripada tewas empat gol untuk mendominasi tangga teratas Kumpulan B selepas membelasah Celtic 7-1, Rabu lalu.

“Perlawanan bertemu Monaco di tempat lawan pastinya ujian terbaik untuk kami tapi pertemuan dengan Bayern lebih penting,” kata Emery.

Bagaimanapun pertahanan kiri Belgium, Thomas Meunier enggan terlalu mendabik dada, sebaliknya menegaskan perjalanan PSG untuk memburu kejuaraan liga masih panjang.

Ditanya adakah kemenangan Ahad ini akan menamatkan perebutan kejuaraan liga, dia berkata: “Tidak, ia masih jauh. Tidak selepas 15 perlawanan liga.

“Memang kami akan menjarakkan diri kepada sembilan mata tapi kami sedar apa saja boleh berlaku. Adalah terlalu meyakinkan jika kami menyatakan kami mampu memenangi kejuaraan liga Ahad ini.”

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 3:07pm
d