arena

Peluang Chong Wei tamat badi

Oleh Helmi Talkah

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan bulan selepas berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pemain berusia 35 tahun berkenaan mengetepikan cabaran pemain nombor dua dunia dari Korea Selatan, Son Wan Ho 21-11, 21-12 dalam aksi suku akhir yang berlangsung 37 minit.

Paling menakjubkan, Chong Wei berjaya bangkit selepas ketinggalan 3-11 di set kedua sekali gus memenangi perlawanan tanpa perlu ke set penentuan.

“Ketika itu saya sendiri sudah fikir mungkin perlawanan akan diheret ke set penentuan. Namun, saya tidak mahu fikir banyak sebaliknya kekal fokus untuk mengutip satu demi satu mata.

“Esok sudah perlawanan separuh akhir, saya harap prestasi saya akan bertambah baik. Apapun, saya akan buat persiapan terbaik untuk berdepan lawan saya,” kata Chong Wei ketika dihubungi di Hong Kong selepas tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Chong Wei akan membuat perhitungan dengan bintang muda China, Shi Yuqi bagi perebutan tempat ke final, esok.

Yuqi mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara yang juga juara dunia lima kali, Lin Dan dalam aksi tiga set 13-21, 21-17, 21-15.

Chong Wei yang sudah empat kali kali menjuarai Terbuka Hong Kong sudah pasti mahu memastikan gelaran juara kali ini menjadi miliknya sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan yang dialaminya sejak mengungguli Seluruh England 2017, Mac lalu.

Ia satu-satunya gelaran yang dimenangi Chong Wei tahun ini - paling sedikit jika dibandingkan tahun sebelum ini yang menyaksikan minimum tiga gelaran berjaya diraihnya sejak 2010.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Tey Seu Bock yang mengiringi Chong Wei di Hong Kong, berkata pemain itu akan turun tanpa sebarang tekanan dalam aksi separuh akhir, esok.

“Chong Wei akan turun tanpa sebarang tekanan dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Ia lebih ke arah untuk mendapatkan semula keyakinannya dan menikmati setiap perlawanan,” kata Seu Bock.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 10:23pm
d