arena

Pahang, Selangor berentap final

Oleh Naqib Nor Said

JUARA bertahan, Pahang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 pada perlawanan separuh akhir Piala Razak, sebentar tadi untuk menempah pertembungan menentang Selangor pada aksi final Ahad ini.

Penyerang kebangsaan Rabiatul Adawiyah Mohamed membuka jaringan buat Pahang menerusi biasan bola pukulan sudut penalti keempat pada minit ke-19 untuk menewaskan penjaga gol ATM, Nadzirah Adzham sebelum Siti Zulaika Hussin meledak jaringan kedua pada minit ke-30.

Kejayaan mara ke final itu adalah yang kedua berturut-turut buat skuad kendalian Mohd Ashraf Benedict selepas muncul juara dengan membelasah ATM 4-0, tahun lalu.

Ashraf berkata, walaupun menang tetapi pasukannya gagal menampilkan persembahan sebenar dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu.

“Kami tidak bermain dengan baik hari ini dengan pemain agak perlahan mungkin mereka terlalu penat kerana saingan yang panjang sepanjang minggu ini. Malah, kami terlepas beberapa peluang pukulan sudut penalti.

“Kami mendapat enam pukulan sudut penalti dan kami hanya menjaringkan satu gol. Ini petanda yang tidak bagus dan kami perlu melakukan sesuatu mengenainya sebelum final Ahad ini,” kata jurulatih itu yang akan bersara selepas lebih 22 tahun membangunkan sukan hoki wanita di Pahang.

Dalam satu aksi separuh akhir selepas itu, Selangor memperagakan kebangkitan menakjubkan apabila menjinakkan Kuala Lumpur 3-2.

Separuh akhir

Kuala Lumpur 2 Selangor 3

JADUAL

Esok

Tempat 7/8

Perak mln Terengganu, 7.30pg

Tempat 5/6

Melaka mln Johor, 9.30pg

Ahad

Tempat 3/4

ATM mln Kuala Lumpur, 4ptg

Final

Pahang mln Selangor, 6.30ptg

(Semua perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur)

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 10:57pm
d