arena

Kasut Emas Eropah keempat Messi

Oleh AFP

BARCELONA: Lionel Messi menegaskan beliau semakin bertambah baik seiring dengan usianya selepas menerima Anugerah Kasut Emas Eropah buat kali keempat, hari ini.

Tonggak Argentina berusia 30 tahun itu muncul penjaring terbanyak dalam saingan liga utama di Eropah musim lalu dengan meledak 37 gol buat Barcelona.

“Saya sentiasa katakan yang saya tidak boleh anggap diri saya sebagai penyerang tetapi saya bernasib baik apabila sentiasa menjaringkan gol dan memenangi anugerah peribadi,” katanya yang juga penerima Ballon d’Or lima kali itu.

“Seiring dengan perkembangan di luar padang, saya fikir saya juga berjaya melakukannya ketika dalam padang.”

Messi mengatasi Bas Dost, yang menjaringkan 34 gol buat Sporting Lisbon musim lalu serta penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang yang meledak 31 kali.

Sebelum ini, Messi pernah menerima anugerah ini pada 2010, 2012 dan 2013, untuk menyamai pencapaian Cristiano Ronaldo yang dinobat penerima anugerah itu pada 2008, 2011, 2014 dan 2015.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 12:41am
d