arena

MOM harap muktamad awal

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap semua jenis sukan dan acara yang dipertandingkan di Sukan Asia 2018 akan dimuktamadkan pada mesyuarat ketua kontinjen pada 13 dan 14 Disember ini di Indonesia.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo (gambar kanan), pihaknya berharap tiada lagi perubahan yang berlaku kerana temasya di Jakarta dan Palembang itu hanya berbaki kurang setahun saja lagi.

“Temasya dijadualkan berlangsung pada Ogos 2018, jadi lebih kurang lapan bulan lagi. Kita memerlukan masa yang mencukupi bagi membolehkan Majlis Sukan Negara (MSN) merangka dan memulakan program.

“Jika terdapat penambahan acara, penyesuaian dengan segera perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui pada majlis undian bola tampar Bawah 14 (B-14) dan 16 (B-16) tahun di Wisma MOM, semalam.

Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia 2018 (INASGOC) dengan persetujuan Majlis Olimpik Asia (OCA) menerusi buletin bulan Oktober yang dihantar kepada MOM, membuat kejutan apabila menyenaraikan acara memanah campound yang bakal mempertandingkan tiga emas selain empat acara sukan mendaki.

Selain menggugurkan beberapa acara termasuk tiga acara BMX (gaya bebas) kerana masalah gelanggang namun INASGOC mengekalkan 40 jenis sukan membabitkan 462 acara.

Ditanya kewajaran tindakan penganjur, Beng Choo menjelaskan bukan sesuatu yang mudah untuk menganjurkan sukan yang membabitkan penyertaan 45 negara.

“Cabaran amat besar dan harus diingat bahawa Indonesia hanya mengambil alih tugas Vietnam yang bertindak menarik diri daripada menganjurkan temasya ini. Jadi, tempoh juga agak terhad bagi mereka,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu doping membabitkan penerjun negara, Wendy Ng, Beng Choo menjelaskan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Dr S S Cheema sedang menyiapkan laporan selepas pendengaran sudah dilakukan menerusi sidang video.

“Apabila menerima laporan, ia akan dipanjangkan kepada mesyuarat Majlis Sukan SEA yang bakal dianjurkan Filipina pada Februari atau Mac nanti bagi memuktamadkan cadangan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 6:24am
d