arena

Emery puas hati aksi Mbappe

Oleh AFP

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery berpuas hati dengan persembahan Kylian Mbappe (gambar) di ibu negara Perancis itu ketika penyerang remaja itu bersedia bagi pertembungan “istimewa” menentang bekas kelabnya AS Monaco, malam esok.

“Pasti bagus buatnya kembali ke Monaco. Dia gembira dengan kerja yang dilakukannya bersama mereka dan Monaco gembira dengan persembahannya serta wang yang mereka dapat daripada perpindahannya,” kata Emery menjelang perlawanan dua pasukan teratas Ligue 1 itu malam esok.

“Ahad ini amat istimewa buatnya, tapi dia akan fokus 100 peratus terhadap PSG.”

Mbappe, yang genap berusia 19 tahun bulan depan, berpindah ke PSG secara pinjaman Ogos lalu dan akan menandatangani kontrak kekal pada musim panas akan datang dengan bayaran sekitar 180 juta euro (RM883 juta).

Setakat ini, dia sudah meledak empat gol dalam liga selain memukau dalam Liga Juara-Juara, turut menyumbang gol ketika membelasah Celtic 7-1, Rabu lalu.

Namun dia dibayangi berikutan prestasi prolifik Edinson Cavani, yang mengumpul 21 gol dalam semua pertandingan, ketika hampir keseluruhan tumpuan diberikan terhadap Neymar.

“Tahun ini dia berdepan banyak pasukan yang bermain secara bertahan. Dia tidak banyak mendapat ruang. Dia perlu belajar bermain dalam ruang sempit dan mencipta peluang. Tapi dia bagus dan perkembangannya baik,” ujar Emery.

PSG menuju ke Monaco tanpa kalah musim ini dan dengan peluang untuk melonjak sembilan mata di depan juara bertahan Monaco, pasukan di tangga kedua.

Ketika PSG tampil pada perlawanan itu dengan prestasi hebat, Monaco sebaliknya selepas kecundang 1-4 kepada RB Leipzig pada pertengahan minggu ini sekali gus menyaksikan mereka tersingkir di Eropah.

Namun Emery melaungkan amaran: “Mereka mempunyai mata yang sama seperti musim lalu. Kami bertindak lebih baik, itulah perbezaannya. Tapi mereka amat kuat di laman sendiri dan mampu menjaringkan banyak gol.”

PSG sekali lagi turun tanpa pemain tengah Thiago Motta ketika dia memulihkan diri daripada pembedahan lutut.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 1:08pm
d