arena

Rahmad kembali ke Sriwijaya FC

Oleh Faizul Azlan Razak

SEHARI selepas meletak jawatan sebagai pengendali T-Team, Rahmad Darmawan (gambar) terus disambar bekas kelabnya, Sriwijaya FC mengharungi Liga 1 Indonesia musim depan.

Pengendali berusia 50 tahun itu kembali ke pangkuan pasukan yang pernah dibimbingnya selama tiga musim dari 2007 hingga 2010.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu kembali ke negara asalnya selepas kecewa apabila pasukan bimbingannya The Titans ‘diturunkan’ beraksi di Liga Perdana sedangkan masih kekal di Liga Super musim depan.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai apabila saya membuat keputusan menandatangani kontrak bersama Sriwijaya FC petang semalam.

“Sasaran saya bersama Sriwijaya mahu memastikan pasukan ini berada dalam tiga kelompok terbaik musim depan,” katanya menerusi kiriman aplikasi WhatsApp.

Pengendali kelahiran Metro, Lampung itu berkata, beliau akan memulakan tugas membimbing kelab yang berpangkalan di Palembang, Sumatera Selatan itu selepas pulang menunaikan umrah.

“Saya akan berangkat ke tanah suci minggu depan dan berterima kasih kepada Sriwijaya yang memberi kepercayaan buat saya membimbing pasukan ini. Saya akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Selain Sriwijaya, dua lagi kelab tersohor di Indonesia, Persib Bandung dan Madura United turut mengintai khidmat Rahmad sebagai ketua jurulatih pasukan mereka.

Kepulangan Rahmad ke Sriwijaya menyaksikannya bekerja kembali dengan bekas pemain T-Team dari Mali, Makan Konate.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 4:07pm
d