arena

Intai podium

Oleh Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Pelumba basikal lasak yang akan beraksi dalam kategori junior, Abdul Syazwan Abdul Rahman, 18, dari Nadiz Terengganu Cycling Team (NADIZ) bakal berentap dalam kejuaraan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP) di Sungai Buaya pada 2 Disember ini.

Abdul Syazwan bersama rakan sepasukan, Nik Adam Iskandar Nik Azhan, 16, menyasarkan menaiki podium sekali gus meletakkan diri pada kedudukan satu dua untuk kategori berkenaan.

Jurulatihnya, Muhammad Labib Mohamed Aripin, 28, berkata, selain dua pelumba itu, NADIZ turut meletakkan sasaran podium bagi kategori terbuka lelaki dengan mempertaruhkan abang Abdul Syazwan, Abdul Arif Abdul Rahman, 21, yang juga pemegang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

“Di pentas perlumbaan Harian Metro ini semua jaguh ada. Jadi bagi pasukan NADIZ kami letakkan pelumba kami untuk bersaing dalam kategori yang menghimpunkan pelumba junior dan elit.

“Pelumba junior kami sekarang berada di kedudukan kedua Asia dan nombor satu Malaysia.

“Kami menjangka NADIZ akan menaiki podium bagi merebut kedudukan satu dan dua,” katanya.

Muhammad Labib berkata, pasukannya menjadikan pentas HMMTBGP untuk mendedahkan pelumba mempelajari kaedah perlumbaan serta meningkatkan stamina dan tenaga.

Katanya, pendedahan dalam perlumbaan seumpama itu akan membiasakan pelumba agar tidak gemuruh apabila bersaing di peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, selepas HMMTBGP itu NADIZ meletakkan harapan kepada Abdul Syazwan untuk meraih pingat emas pada SUKMA 2018 di Perak.

“NADIZ juga akan menghantar pelumba untuk Piala Asia bermula tahun depan di beberapa litar perlumbaan antaranya Jepun, Australia dan Filipina,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 4:34am
d