arena

Drop Shot: Iskandar kian matang atur rentak permainan

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Selepas sekian lama namanya tenggelam, minggu lalu Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) kembali mengukir kejayaan apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia di Johor Bahru.

Meskipun ia adalah kejohanan berstatus kecil, namun bagi saya kejayaan itu sedikit sebanyak diharap dapat menyuntik semangat kepadanya semula yang sering mempamer aksi hambar sebelum ini berikutan kecederaan belakang dialaminya.

Di Johor, pemain perseorangan negara berusia 26 tahun itu menewaskan rakan senegara yang juga naib juara remaja dunia, Leong Jun Hao.

Nyata kerja kerasnya selama ini pada sesi latihan untuk memperbaiki dirinya serta menyerahkan segala jiwa dan raga berlatih di bawah Datuk Misbun Sidek mula menunjukkan hasil.

Kalau dulu kita dapat lihat corak permainan Iskandar agak kucar-kacir dan dia sendiri mempunyai rekod ‘yoyo’ atau dengan kata lain tidak konsisten.

Tapi sekarang sudah nampak kematangan di dalam permainannya.

Kejayaan kecil ini seharusnya tidak terhenti di sini kerana banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh Iskandar.

Paling penting adalah untuk membuktikan kemampuan dirinya terpilih beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas.

Selepas membuktikan kemampuannya di Johor, kini Iskandar mempunyai satu lagi peluang lagi untuk cuba menyerlah, iaitu pada Masters Korea Selatan minggu ini yang juga kejohanan terakhir untuk dirinya pada tahun ini.

Sudah tentu saya mengharapkan dia mampu meneruskan aksi konsisten seperti ketika di Johor.

Sebab bagi saya kejohanan berstatus Grand Prix (GP) Emas ini cukup penting untuk Misbun memilih barisan perseorangan lelaki negara bagi menggalas tugas pada kempen kelayakan Piala Thomas.

Dengan usia yang semakin meningkat dan sudah pun berstatus senior di dalam skuad kebangsaan, Iskandar tidak seharusnya sekadar menjadi ‘penumpang’ di dalam skuad negara.

Dia perlu menjadi pemain yang memainkan watak penting untuk memungut mata bersama-sama dengan siapa lagi kalau bukan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Bercakap mengenai Piala Thomas, saya masih berasa yakin Iskandar mampu menggalas tugas yang diberikan sekiranya terpilih untuk bersama di dalam skuad negara.

Dengan pengalamannya beraksi pada edisi Piala Thomas 2016, seharusnya Iskandar mampu mempamerkan aksi lebih matang.

Ingatlah, Piala Thomas itu cukup berprestij dan setiap pemain harus menjaga maruah negara. Maka cuba berikanlah aksi paling terbaik. Jumpa lagi.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 4:36am
d