arena

PETEH gesa penyokong sambut baik 'DNA' baru PBSNT

Oleh Malik Muhamad

KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) menggesa peminat setia Terengganu FC I (TFC I) dan Terengganu FC II (TFC II) menerima dengan hati yang terbuka hasrat kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung penjenamaan semula baru-baru ini.

Setiausaha PETEH, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, peminat setia harus berterima kasih dan menyokong penuh hasrat berkenaan demi pembangunan bola sepak di Terengganu dan bukannya bertindak sebaliknya.

“Saya memahami ada yang bersetuju dan tidak bersetuju langkah yang diumumkan Presiden PBSNT Selasa lalu, buktinya dalam laman sosial, tapi sebagai peminat sejati perlu akur dan menerima perubahan itu dengan hati yang terbuka.

“Hal ini kerana selain untuk meningkatkan kualiti pasukan dari Terengganu, ia secara tidak langsung boleh menjimatkan bajet kerajaan negeri yang saya difahamkan musim ini saja menelan belanja lebih RM25 juta.

“Justeru sebagai kelab tertua yang ditubuhkan sejak 1988, kami berharap semua peminat bersatu dan terus menyokong perubahan yang baik itu dan bukannya melemparkan kata-kata kesat terutamanya dalam laman sosial,” katanya.

Bagaimanapun beliau kurang bersetuju dengan nama baru bagi Terengganu dan T-Team itu yang seakan-akan hilang seri dan identitinya.

“Jika boleh kekalkan nama Terengganu dan satu lagi pasukan Terengganu FC kerana nama itu sudah sebati dalam diri setiap peminat walaupun saya difahamkan dua pasukan itu akan diswastakan.

“Selain itu PETEH menyarankan pemain yang berada dalam TFC II yang dulunya dikenali T-Team perlu dibarisi 100 peratus pemain kelahiran negeri kecuali pemain import kerana dua musim ini pasukan Piala Presiden Terengganu layak ke final manakala musim lalu T-Team beraksi di pentas akhir,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 2:34pm
d