arena

Almeida yakin ketajaman serangan Farderin

Oleh Nazri Abu Bakar

JURULATIH Melaka United, Eduardo Almeida melaungkan keyakinan terhadap prestasi bekas penyerang kebangsaan Farderin Kadir yang akan menyarung jersi skuad itu musim depan.

Menurut Almeida, pemain itu memiliki keupayaan dan kelebihan tersendiri untuk menjadi antara pilihan membarisi posisi penggempur terutama membantu pasukan mencipta jaringan.

Pengalaman dan keistimewaan yang dimiliki penyerang itu mampu digunakan skuad Hang Tuah dalam saingan Liga Super musim depan.

“Apa-apa pun saya akan berusaha untuk membentuk gandingan yang sesuai buatnya dengan pemain lain kerana dia memiliki kemahiran untuk meledak gol penting buat Melaka kelak.

“Saya sudah meneliti corak permainannya yang efektif walaupun ada kelemahan namun kelebihan yang dimilikinya perlu diberi perhatian,” katanya.

Anak kelahiran Melaka yang beraksi dengan beberapa pasukan termasuk Perlis, Selangor, Terengganu, Sime Darby, PKNS dan Negeri Sembilan antara pemain baharu Melaka termasuk Fakri Saarani, S Chanturu dan R Gopinathan.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Yusoff Mahadi berkata, pada mulanya beliau terkejut dengan pilihan Almeida yang menyenaraikan Farderin kerana memandangkan penyerang itu di penghujung karier.

Beliau berkata, prestasinya yang kurang menarik bersama Negeri Sembilan musim ini selain tahap permainan yang sedikit perlahan bagaimanapun dinafikan Almeida yang mengakui Farderin seorang penyerang bijak.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 6:11pm
d