arena

Hamilton enggan 'dihantui' kejuaraan dunia

Oleh Reuters

ABU DHABI: Lewis Hamilton menamatkan kempen Formula Satu (F1) musim ini dengan menaiki podium tetapi mengakui kejayaan merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat ketika masih berbaki dua pusingan menjejaskan prestasinya.

Situasi sama berlaku pada 2015 ketika dia mengesahkan kejuaraan dunia di Texas dengan rakan sepasukan ketika itu, Nico Rosberg memenangi baki tiga perlumbaan terakhir dan Hamilton gagal meraih podium pertama sejak Grand Prix (GP) Amerika Syarikat.

Dia menduduki tempat kesembilan di Mexico ketika mengesahkan kejuaraan dunia tahun ini, kemudian keempat di Brazil dua minggu lalu dan kedua di Abu Dhabi di belakang rakan sepasukan Mercedes AMG PETRONAS, Valtteri Bottas.

Tahun lalu pula, Hamilton memenangi empat perlumbaan terakhir tetapi Rosberg tetap mampu mengesahkan kejuaraan dunia yang kemudian mengambil keputusan untuk bersara selepas itu.

“Saya masih dapat berlumba dengan baik. Ia tidaklah 100 peratus bagus seperti sebelum itu.

“Apa yang boleh saya katakan ialah selepas memenangi kejuaraan dunia saya akan berparti. Saya tidak lakukannya sebelum ini.

“Tenaga yang ada pada saya tidak sama seperti sebelum ini meskipun saya memberi fokus yang sama ketika hari perlumbaan. Tapi saya tidak risau mengenainya,” katanya.

Hamilton mengesahkan dua gelaran dunia, iaitu pada 2008 dan 2014 di pusingan terakhir.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff ketika mengulas perkara itu berkata beliau tidak risau.

“Semua pemandu beraksi sebaik mungkin. Hamilton tidak pernah melakukan kesalahan sepanjang musim,” katanya.

Wolff berkata, kedua-dua pemandunya bersaing untuk meraih kemenangan pada hari perlumbaan sekali gus menafikan kritikan yang mempersoalkan adakah mereka benar-benar bersaing.

“Mereka memandu sehingga semaksimum mungkin. Kami memberikan pakej terbaik kepada mereka berdua untuk bersaing di atas litar.

“Adalah amat sukar untuk kedua-duanya memotong di Abu Dhabi,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 10:10am
d