arena

Mustaffa Kamal ambil alih TFCII

Oleh Faizul Azlan Razak

PENGENDALI skuad Piala Presiden Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab (gambar) menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai ketua jurulatih Terengganu FC II (TFCII) bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Musim ini, Mustaffa Kamal membawa skuad Piala Presiden muncul naib juara selepas tewas kepada Selangor di pentas akhir.

Bekas pemain yang pernah memangku ketua jurulatih Terengganu musim lalu itu mengesahkan pelantikannya untuk membimbing TFCII dan bersedia menyahut cabaran ditetapkan PBSNT.

“Selepas penjenamaan semula, TFCII akan menjadi pasukan pelapis musim depan dan saya akan berusaha melahirkan pemain berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan senior, Terengganu FC I (TFCI).

“Malah, pasukan TFCII ini dibarisi pemain muda bawah umur 25 tahun yang mana 70 peratus daripada skuad T-Team manakala selebihnya gabungan pemain TFCI, skuad Piala Presiden T-Team dan Terengganu,” katanya.

Sebelum ini, PBSNT sudah mengenal pasti calon ketua jurulatih yang bakal membimbing TFCII selepas pengendali kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan menolak tawaran dan kembali menyertai bekas kelab lamanya, Sriwijaya FC.

Mustaffa Kamal berkata, antara pemain senior yang masih dikekalkan ialah ketua pasukan T-Team, Mohd Hasbullah Awang, Fakhrurazi Musa, Hassan Basri dan Ahmad Takhuyuddin Roslan kerana mereka memiliki kontrak hingga musim depan.

Katanya, pasukannya juga bercadang mendapatkan dua pemain import bagi memimpin pemain muda di posisi pertahanan dan penyerang.

“Kita tidak bercadang menggunakan ramai pemain import kerana mahu memberi pendedahan kepada pemain tempatan beraksi dan mempamerkan bakat mereka.

“Jadi, pasukan ini akan memulakan sesi latihan pramusim bermula 3 Disember ini di padang Kompleks Sukan Gong Badak,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 10:24pm
d